Thursday, February 2, 2012

Kesabaran yang membuahkan hasil

Posted on Thursday, February 02 @ 06:41:36 PST by paktam


Tak banyak antara kita yang mengenali Aminah Assilmi. Beliau ialah Presiden Internasional Union of Muslim Women yang telah meninggal dunia pada 6 Mac 2010 dalam satu kemalangan kereta di Newport, Tennesse, Amerika Syarikat (AS).

Perjalanannya menuju Islam cukup unik. Maka kami persembahkan buat tatapan kita semua yang sudah sedia Muslim. Perjalanan beliau patut dikenang.



Semuanya bermula daripada kesalahan kecil sebuah komputer. Pada mulanya, beliau adalah seorang gadis jemaah Southern Baptist – aliran Gereja Protestant terbesar di AS, seorang feminis radikal dan jurnalis penyiaran.
Pada waktu usia mudanya, beliau bukanlah gadis yang biasa-biasa sahaja, tetapi cerdas dan unggul di sekolah sehingga berjaya mendapat tawaran biasiswa.

Suatu hari, sistem komputer di sekolahnya membuat hal. Siapa sangka, hal itu rupa-rupanya membawa beliau kepada misi sebagai seorang Kristian dan mengubah jalan hidupnya secara keseluruhan.

Pada tahun 1975, buat pertama kali komputer digunakan dalam proses prapendaftaran di kampusnya.

Sebenarnya, beliau mendaftar untuk mengikuti bidang terapi rekreasional, namun komputer mendaftarkan namanya ke kelas teater. Pendaftaran tidak boleh dibatalkan kerana sudah terlambat. Apatah lagi membatalkan kelas juga bukan satu pilihan, kerana sebagai penerima biasiswa bertaraf F, ada risikonya berbuat demikian.

Suaminya menyarankan agar Aminah berjumpa pensyarah untuk mencari alternatif dalam kelas pertunjukan. Betapa terkejutnya beliau, kerana kelas tersebut dipenuhi anak-anak orang Arab dan ‘para penunggang unta’.

Tak sanggup, beliau pun pulang ke rumah dan memutuskan untuk tidak masuk ke kelas itu lagi. Tidak mungkin baginya untuk berada di tengah-tengah orang Arab. “Tidak mungkin saya duduk di kelas yang penuh dengan orang kafir!” ujarnya ketika itu.

Suaminya cuba menenangkan dan mengatakan mungkin Tuhan punya suatu rencana di sebalik kejadian itu.

Selama dua hari Aminah mengurung diri untuk berfikir. Akhirnya beliau membuat kesimpulan mungkin itu adalah petunjuk daripada Tuhan, agar dirinya membimbing orang-orang Arab untuk memeluk Kristian.

Maka dengan itu, beliau memiliki misi yang harus ditunaikan. Di kelas, beliau terus berdiskusi mengenai ajaran Kristian dengan teman-teman Arabnya. Beliau memulakan dengan mengatakan bahawa mereka akan dibakar di neraka jika tidak menerima Yesus sebagai penyelamat. Mereka sangat sopan mendengarnya, namun tidak bertukar kepada agama yang dianutinya.

Kemudian beliau menjelaskan lagi, betapa Jesus mencintai dan rela mati di tiang salib untuk menghapuskan dosa-dosa mereka. Namun ajakan itu tidak sedikit pun mengubah kepercayaan mereka.

Teman-teman di kelasnya tidak mahu berpaling sehingga beliau memutuskan untuk mempelajari al-Quran dengan niat hendak menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang salah dan Muhammad bukan seorang nabi.

Aminah pun melakukan penelitian selama satu setengah tahun dan membaca al-Quran hingga tamat.

Namun secara tidak sedar, beliau perlahan-lahan berubah menjadi seorang yang berbeza, dan suaminya memerhatikan hal itu.

Beliau berubah sedikit demi sedikit. Namun, ia cukup membuat dirinya terusik. Biasanya beliau akan pergi ke bar setiap Jumaat dan Sabtu atau ke pesta-pesta untuk berhibur. Tetapi ketika itu beliau tidak lagi mahu pergi dan semakin hari, beliau menjadi semakin pendiam dan menjauh.

Melihat perubahan yang terjadi, suaminya menyangka Aminah curang, kerana bagi lelaki itulah yang membuat seorang wanita berubah. Kemuncaknya, beliau diminta untuk meninggalkan rumah dan tinggal di apartmen yang berbeza. Aminah terus mempelajari Islam, sambil tetap menjadi seorang Kristian yang taat.

Akhirnya, hidayah itu datang. Pada 21 Mei 1977, ahli jemaah gereja yang taat itu menyatakan, “Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya.”

Perjalanan setelah mengucapkan dua kalimat syahadat, seperti halnya mualaf lain, bukanlah perkara yang mudah. Aminah kehilangan segala yang dicintainya. Beliau kehilangan hampir seluruh temannya kerana beliau dianggap tidak menyenangkan lagi.

Ibunya tidak dapat menerima dan berharap itu hanyalah semangat membara yang akan segera padam. Saudara perempuannya yang merupakan pakar jiwa menganggap dirinya gila. Ayahnya yang lemah lembut mengangkat senjata dan bersiap untuk membunuhnya. Hinggakan demikian sekali cabaran baginya.

Tidak lama kemudiannya beliau pun mengenakan hijab. Pada hari yang sama beliau kehilangan pekerjaannya. Lengkap sudah. Aminah hidup tanpa ayah, ibu, saudara, teman dan pekerjaan.

Jika sebelumnya, ia hanya hidup terpisah dengan suami, kini perceraian di depan mata. Di mahkamah beliau harus membuat keputusan pahit dalam hidupnya; melepaskan Islam dan tidak akan kehilangan hak mengasuh anaknya atau tetap memegang Islam dan harus meninggalkan anak-anak. “Itu adalah 20 minit yang paling menyakitkan dalam hidup saya,” kenangnya waktu itu.

Bertambah pedih kerana doktor telah menyatakan bahawa dirinya tidak akan lagi mampu memiliki anak akibat komplikasi yang dideritainya.

“Saya berdoa lebih daripada biasa ketika itu. Saya tahu, tidak ada tempat yang lebih aman bagi anak-anak saya daripada berada dalam pemeliharaan Allah. Jika saya mengingkari-Nya, maka pada masa depan tidak mungkin bagi saya menunjukkan kepada mereka betapa takjubnya berada dekat dengan Allah.” Beliau pun memutuskan melepaskan anak-anaknya, sepasang putera-puteri kecilnya.

Namun, Allah Maha Pengasih. Beliau diberikan anugerah dengan kata-kata yang indah sehingga membuat banyak orang tersentuh dengan perilaku Islaminya. Beliau telah berubah menjadi seorang yang berbeza, jauh lebih baik - begitu baiknya sehingga keluarga, teman dan kerabat yang dulu memusuhinya, perlahan-lahan mulai menghargai pilihan hidupnya.

Dalam pelbagai kesempatan beliau mengirim kad ucapan untuk mereka, yang dituliskan kalimah-kalimah indah dari ayat al-Quran atau hadis, tanpa menyebutkan sumbernya.

Beberapa waktu kemudian beliau pun menuai benih yang ditanam. Orang pertama yang menerima Islam adalah neneknya yang berusia lebih daripada 100 tahun. Tidak lama setelah kembali kepada Islam neneknya pun meninggal dunia.

“Pada hari dia mengucapkan syahadah, seluruh dosanya diampuni dan amal-amal baiknya tetap dicatat. Sejenak setelah memeluk Islam dia meninggal dunia, saya tahu buku catatan amalnya berat di sisi kebaikan. Itu membuatkan saya amat gembira!”

Seterusnya yang menerima Islam adalah orang yang dulu ingin membunuhnya, iaitu ayahnya. Keislaman ayah mengingatkan dirinya pada kisah Umar bin al-Khattab.

Dua tahun setelah Aminah memeluk Islam, ibunya menelefon dan sangat menghargai keyakinannya yang baru. Dan dia berharap Aminah akan tetap memeluknya.

Beberapa tahun kemudian ibunya menelefon lagi dan bertanya apa yang harus dilakukan seseorang jika ingin menjadi Muslim. Aminah menjawab bahawa dia harus percaya bahawa hanya ada satu Tuhan dan Muhammad adalah utusan-Nya.

“Kalau itu semua orang bodoh juga tahu. Tapi apa yang harus dilakukannya?” tanya ibunya lagi.

Aminah berkata bahawa jika ibunya sudah percaya bererti dia sudah Muslim. Ibunya lantas berkata, “Baiklah. Tapi jangan khabarkan pada ayahmu dulu,” pesan ibunya.

Ibunya tidak tahu bahawa suaminya (ayah tiri Aminah) telah menjadi Muslim beberapa minggu sebelumnya. Dengan demikian mereka tinggal bersama selama beberapa tahun tanpa saling mengetahui bahawa pasangannya telah memeluk Islam.

Saudara perempuannya yang dulu berjuang memasukkan Aminah ke rumah sakit jiwa juga akhirnya memeluk Islam. Putera Aminah semakin dewasa. Ketika memasuki usia 21 tahun, dia menelefon ibunya dan berkata dia turut ingin menjadi seorang Muslim.

Enam belas tahun setelah perceraian, bekas suaminya juga memeluk Islam. Katanya, selama enam belas tahun beliau mengamati Aminah dan ingin agar puteri mereka bersama agama yang sama seperti ibunya.

Lelaki itu datang menemuinya dan meminta maaf atas apa yang pernah dilakukannya. Beliau adalah lelaki yang sangat baik dan Aminah telah memaafkannya sejak dulu lagi.

Mungkin hadiah terbesar baginya adalah apa yang beliau terima seterusnya. Aminah bernikah dengan orang lain, dan walaupun doktor telah mengesahkan beliau tidak boleh punya anak lagi, Allah ternyata menganugerahinya seorang putera yang rupawan.

Jika Allah berkehendak memberikan rahmat kepada seseorang, maka siapa yang dapat mencegahnya? Maka puteranya diberi nama Barakah.

Beliau yang dulunya kehilangan pekerjaan, kini menjadi Presiden Persatuan Wanita Muslim Internasional dan berjaya melobi Pejabat Amerika Syarikat untuk membuat setem Idul Fitri dan berjuang agar Hari Raya itu menjadi hari cuti nasional AS.

Pengorbanan yang yang dulu diberikan Aminah demi mempertahankan Islam seakan sudah terbalas.

“Kita semua pasti mati. Saya yakin bahawa kepedihan yang saya alami mengandungi berkah.”

Aminah Assilmi kini telah tiada. Beliau meninggalkan semua yang dikasihinya termasuk puteranya yang dirawat di rumah sakit, akibat kemalangan dalam perjalanan pulang dari New York untuk berdakwah tentang Islam.

Berkat kesabaran akhirnya membuahkan hasil. Ambillah pengajaran daripadanya.

Bersama-samalah kita doakan saudara segama kita ini agar roh beliau ditempatkan bersama manusia-manusia yang diberikan nikmat-Nya di akhirat sana.

No comments:

Post a Comment