SEKOLAH PENYAYANG JANA PELAJAR TERBILANG
PENDIDIKAN adalah aktiviti berkaitan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang didukung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal berketrampilan terpuji di samping melahirkan intelektual.
Hari ini bidang pendidikan menjadi tonggak utama sesebuah negara dalam proses pembangunan.
Maju atau mundur sesebuah negara terletak pada keberkesanan sistem pendidikannya.
Malaysia tidak terkecuali dalam usaha membentuk sistem pendidikan berkualiti bukan sahaja dalam aspek kurikulum, tetapi merangkumi komponen pendidikan lain seperti kokurikulum dan pembentukan sahsiah.
Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep ‘Sekolah Penyayang’ untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah laku pelajar.
Menurut Surat Pekeliling Iktisas 2001 Kementerian Pelajaran, konsep Sekolah Penyayang yang menekankan sayang menyayangi dan mewujudkan kemesraan guru dengan murid serta warga sekolah dengan ibu bapa hendaklah dipertingkatkan lagi. Dengan wujudnya kemesraan itu, gejala tidak sihat di kalangan murid dapat dihindari dan dibendung.
Betapa murninya hasrat itu dalam mewujudkan suasana kondusif di sekolah sebagai satu daripada kaedah terbaik untuk memberi keselesaan kepada semua khususnya murid.
Sekolah penyayang melahirkan insan berjiwa harmoni dan bertanggungjawab. Apabila kehidupan di sekolah penuh keceriaan, bermakna hubungan antara warga sekolah menjadi bersepadu, saling hormat menghormati serta saling membantu dalam apa jua aktiviti.
Menurut Dr Aidh Abdullah Al Qarni, ciri-ciri seorang guru yang hebat dan berkesan ialah tidak berperilaku menakutkan, tidak bersikap kasar, sentiasa menyayangi murid dan murid turut menyayangi mereka.
Pendidik berkualiti mempunyai ciri-ciri tersendiri yang disayangi anak murid.
Sebenarnya konsep Sekolah Penyayang jika diperkasakan mampu menjadi satu pendekatan berkesan untuk membendung gejala ponteng sekolah.
Sebagaimana diketahui umum, kes pelanggaran disiplin di sekolah biasanya dalam bentuk ponteng sekolah.
Oleh itu, satu mekanisma efektif mesti diambil untuk menarik kembali murid agar mereka sentiasa seronok dan sayang meninggalkan kawasan sekolah.
Sikap hormat menghormati dan saling membantu adalah ciri-ciri dituntut Islam.
Sebagaimana maksud hadis Nabi s.a.w: “Tidak termasuk dalam kalangan umatku orang yang tidak menghormati yang tua dan tidak menyayangi yang kecil.”
Kata Dr Aidh lagi dalam bukunya Rahsia Tokoh Yang Berjaya, “Seseorang pendidik penyayang itu akan sentiasa bersemangat tinggi ketika menyampaikan pengajaran di samping tidak putus-putus memberi motivasi agar muridnya berjaya dengan cemerlang, tetapi yang lebih penting seseorang pendidik mesti bersikap peramah dan menunjukkan wajah ceria di hadapan muridnya.”
Dalam merealisasikan keberkesanan konsep sekolah penyayang, ibu bapa perlu berperanan sebagai pengukuh kepada kejayaan anak.
Dalam hal ini, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu digerakkan secara optimum.
Kehadiran ibu bapa dalam aktiviti sekolah mampu menghidupkan situasi lebih kondusif, malah boleh menjadi pemangkin kepada penyelesaian masalah disiplin di sekolah.
PIBG tidak sepatutnya hanya bertindak sebagai badan yang ‘bermesyuarat’ tetapi dalam aktiviti di sekolah, ibu bapa hanya melihat.
Banyak aktiviti boleh digabungkan antara PIBG dengan pendidik dan murid di sekolah, antaranya ketika kejohanan sukan, aktiviti perkhemahan dan sebagainya.
Pembabitan ibu bapa dalam aktiviti di sekolah tentu sekali akan mengeratkan hubungan mereka dengan warga sekolah.
Ibu bapa dan guru perlu sedar PIBG adalah komponen penting untuk membantu sekolah menjayakan wawasannya serta menjadi pemangkin dan pelengkap program sekolah untuk mewujudkan sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
Pembabitan secara langsung ibu bapa dan guru dalam program pendidikan anjuran sekolah perlu digembleng secara terancang supaya misi dan visi sekolah dapat dicapai secara berkesan.
Jalinan hubungan erat antara pentadbir sekolah, guru, dengan kepemimpinan PIBG akan membina kekuatan kepada usaha mencapai kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah murid.
Konsep Sekolah Penyayang mesti disegarkan kembali dan ditambah nilai dengan pendekatan lebih efektif agar matlamat melahirkan pelajar seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi sebagaimana termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan tercapai selaras merealisasikan Wawasan 2020.
Sumber :http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment