Kitakah Orang Itu
Posted on Sunday, December 19 @ 02:00:00 PST
Dilulus untuk paparan oleh teori
Oleh: mutiarakecil
"Sudah menjadi lumrah kehidupan dunia hari ini, Ramai orang lebih berminat untuk melakukan perkara yang agak sia-sia dari melakukan amalan yang boleh menambahkan saham pahala. Setuju tak dengan pendapat saya??? Ok... Sekarang cuba kita perhatikan, bila kita diajak untuk melakukan amalan kebaikan pastinya ramai dari kita memerlukan masa yang agak lama untuk memikirkan sama ada mahu turut serta ataupun tidak. Lebih malang lagi kiranya ada yang mencipta berbagai alasan untuk membebaskan diri dari ajakan tersebut.
Contohnya kita diajak untuk solat berjemaah di masjid, menghadiri kuliah agama, bergotong -royong membersihkan masjid, menyertai program tarbiyah ruhiyyah, mendengar ceramah dan lain-lain lagi amal kebaikan maka susah untuk menerima ajakan tersebut sekiranya tidak berfikir panjang terlebih dahulu. Namun saya tak menafikan bahawa ada golongan mereka yang cepat dan pantas menerima ajakan tersebut tapi golongan ini hanyalah minority dan bukanlah majority. Paling kurang jawapan yang diberikan ialah "kau pergi dulu, kejap lagi aku ikut belakang. Itupun nasib baik kalau betul dia ikut belakang. Kalau tak...
Cuba kita perhatikan lagi, sekiranya kita diajak untuk melakukan perkara yang sebaliknya. Contohnya kita diajak untuk tengok bola, shopping, bersiar-siar, tengok wayang, ponteng kuliah dan perkara yang sama waktu dengannya, pasti mudah untuk kita menerima ajakan tersebut dan dengan serta merta kita boleh bersiap untuk turut serta. Adakah betul tanggapan saya??? Tepuk dada tanya iman kita.
Setiap kali kita ingin melakukan kebaikan pastinya ada halangan yang perlu kita lalui iaitu godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar meninggalkan setiap kebaikan dan melakukan perkara sebaliknya. Bagi mereka yang lemah untuk melawan, maka mereka akan terkulai layu dengan pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Inilah gambaran dunia hari ini. Tidak ramai yang mahu berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan untuk menambah koleksi pahala melainkan sedikit. Cukup berbeza dengan zaman para sahabat dahulu. Mereka berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Lihat saja ketika peristiwa solat sunat terawih. Pada asalnya solat ini hanyalah dilakukan oleh nabi seorang. Tapi bila para sahabat melihat nabi melakukan maka mereka pun turut serta melakukan walaupun perkara ini tidak disuruh oleh nabi. Dari hari ke hari bilangan jemaah yang turut serta dalam solat ini makin bertambah. Sehingga pada hari ketiga atau keempat nabi melakukannya di rumah. Maka pada keesokan hari para sahabat bertanya kepada nabi kenapa semalam engkau tidak keluar solat seperti hari-hari sebelumnya. Maka nabi pun menjawab, aku takut solat ini diwajibkan ke atas kalian semua.
Lihatlah sahabat sekalian, betapa bersungguhnya mereka ini dalam melakukan amal soleh. Bagaimana dengan kita??? Perkara yang wajib pun kita sudah liat untuk melakukan, apatah lagi yang sunat. Lontaran ini adalah sebagai muhasabah untuk kita semua. Sekiranya kedua perkara tadi bertembung maka utamakanlah perkara yang dapat menambahkan keimanan kita kepada Allah. Contohilah para sahabat nabi yang suka berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan. Memang setiap amalan kebaikan itu agak susah untuk dilakukan. Tapi walau sepayah mana sekalipun kita tetap perlu bermujahadah melawan godaan nafsu dan syaitan untuk tetap melakukan sesuatu amalan kebaikan tersebut. Kesusahan di dunia inilah yang menjadi jaminan untuk kita selamat di akhirat kelak yang kekal abadi. Terlalu nikmatnya dunia yang kita rasai pada hari ini namun kenikmatan dunia ini tidak mampu untuk menandingi kenikmatan bila berada di syurga Allah kelak. Jadi, mana satu pilihan kita??? Nak nikmat dunia yang hanya sementara ini atau nikmat di akhirat yang kekal abadi??? Sekali lagi tepuk dada tanyalah iman.
Moga kita sentiasa berada sebaris dengan jalan yang dilalui oleh hamba-hamba Allah yang soleh. Diharap dengan apa yang saya lontarkan ini dapat menjadi muhasabah terutama buat diri yang lemah ini dan sahabat semua yang mendambakan syurga Allah kelak. Saya akhiri artikel ini dengan kalam Allah di dalam surah al-Hadid ayat 20-21 yang bermaksud
"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhoanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar".
Kitakah orang yang tergolong dalam ayat 21 di atas, atau sebaliknya??? The choice in your hands...
Mutiara Berharga
"
No comments:
Post a Comment