Saturday, June 30, 2012
Wednesday, June 27, 2012
Lagi kes cubaan culik anak gadis di Malaysia Posted on Wednesday, June 27 @ 09:00:00 PDT Dilulus untuk paparan oleh Juragan |
Oleh: amkns
"VAN PUTIH MUNCUL LAGI
27 Jun 2012 - Satu lagi kejadian cubaan culik dilaporkan, menjadikannya kes ketujuh sepanjang tahun ini dan kali ini berlaku di kawasan perumahan polis di Setiawangsa, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari, Khamis lalu, mangsa adalah remaja perempuan berusia 16 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ida.
Daripada tujuh kejadian sebelum ini, dua mangsa berjaya dilarikan penculik, termasuk kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar dan dalam kebanyakan kes, kumpulan penjenayah menggunakan van berwarna putih.
Dalam kejadian membabitkan Ida, Khamis lalu,
remaja itu terselamat apabila berjaya meloloskan diri selepas menjerit sekuat hati ketika seorang lelaki cuba menekup mulutnya sebelum cuba membawanya masuk ke dalam van putih.
Ida berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan berjalan kira-kira dua kilometer bersama rakannya sebelum berpisah.
Sumber: hmetro.com.my"
Monday, June 11, 2012
Anak menjadi tuan
Nor Hidayah Mohamed Taib, |
Jika sebelum ini, kedengaran isu pembuangan bayi sering dijadikan tajuk utama dalam setiap dada akhbar tetapi keadaan seperti ini seolah-olah telah terbalik, ini kerana terdapat segelintir anak tanpa segan silu sanggup membuang ibu bapa mereka di rumah jagaan orang tua, di perhentian bas dan terdapat juga di hospital kerajaan. Betapa dunia pada masa kini semakin menginjak ke akhir zaman kerana telah banyak anak yang bersikap seperti tuan-tuan besar, semakin hilang kasih anak kepada ibu bapa dan semakin banyak anak yang telah mengabaikan tanggungjawab terhadap orang tua mereka.
Percaya atau tidak, fenomena seperti ini telah pun berlaku di sekitar kita sejak kebelakangan ini sepertimana kejadian yang dilaporkan di Ipoh pada 12 Mei 2012, yang mana seorang wanita warga emas, Jenice Abdullah, 70, mendakwa bahawa 10 anaknya yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang professional sengaja berpakat membuang beliau di salah sebuah rumah jagaan orang tua sejak lapan tahun lalu setelah kematian suaminya. Apa yang menyedihkan, kejadian ini berlaku gara-gara kesemua Si Tenggang Moden tersebut jijik mencuci najis beliau.
Kejadian yang menyayat hati turut berlaku di sebuah negeri di utara tanah air, Labuan, pada September 2011, kita telah digemparkan dengan kejadian seorang anak derhaka yang sanggup menghalau dan membuang bapanya yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung dan ditinggalkan di perhentian bas di tepi sekolah dengan keadaan bapanya sehelai sepinggang sehingga terpaksa merempat dan mengharapkan ihsan orang lain. Hal ini kerana dikatakan kehadiran si bapa tidak disukai olah isteri anaknya lalu merasakan kewujudan beliau dirumah tersebut boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga mereka. Ini jelas terbukti bahawa pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapa sepanjang membesarkan si anak itu langsung tidak dihargai dan dianggap remeh.
Apa yang lebih mendukacitakan lagi, sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul dari kalangan mereka yang mengaku sabagai orang Islam sedangkan dalam Islam tidak pernah wujud sifat sedemikian malah Islam sangat mencela dengan keras perbuatan seumpama ini. Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu meyambung) dan sumpah yang palsu.” –Hadith riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2654.
Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibu bapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. yang mana ia merupakan dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Allah S.W.T. berfirman: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” –al-Nisaa’ (4): 36.
Di dalam ayat ini telah menjelaskan bahawa Allah memerintahkan hamba-Nya untuk mentauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah S.W.T. turut menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjaga kedua ibu bapa mereka dengan baik. Dengan erti kata lain, seseorang itu tidak akan dianggap memiliki kemantapan iman serta ibadatnya juga belum dianggap sempurna selagi die tidak berbuat baik dan berbakti kepada orang tuanya.
Terdapat juga kejadian yang dilaporkan pada 15 Januari 2010 yang mana seorang bapa berumur 60 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang kronik telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisis di Kangar, Perlis. Ini difahamkan, warga emas tersebut dianggap sebagai beban kepada anak-anak kerana terpaksa menghantar bapanya pada setiap minggu. Akhirnya, Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan si bapa tersebut di sebuah rumah kebajikan, Rumah Sri Kenangan di Jejawi. Begitulah kesudahan nasib seorang bapa yang malang kerana telah dianggap beban kepada anak-anak yang mana tanpa disedari sebenarnya begitu banyak kasih sayang yang telah dicurahkan oleh si bapa, tetapi sebaliknya, anak-anak tidak pernah mengambil peduli akan tanggungjawab menjaga dan membalas segala apa yang diberikan oleh bapa mereka malah cuba untuk lari dari setiap tanggungjawab yang perlu mereka hadapi.
Sepertimana yang kita tahu, menjaga ibu bapa yang sudah tua memang bukan satu urusan yang mudah. Kebiasaannya tubuh yang telah dimamah usia menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan adakalanya sangat memerlukan bantuan dari anak-anak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, mudah terasa hati, bahkan agak cerewet dalam banyak perkara. Ada juga yang telah mula lemah daya ingatannya dan menyebabkan perbualan mereka dengan seseorang anak itu hilang sabar. Namun, setiap kesukaran dalam menjaga ibu bapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibu bapa mereka dan tetap menjaga dengan baik dalam apa jua suasana, maka sebenarnya mereka telah menempah tiket untuk ke syurga.
Rasulullah s.a.w. pernah mencela bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang telah lanjut usia, namun mereka masih tidak mampu untuk memasuki syurga. Baginda pernah bersabda: “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” –Hadith riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no 2551.
Namun, masih lagi terdapat isu pada Oktober 2010, yang mana kita dikejutkan dengan sifat tidak berperikemanusiaan seramai 9 orang anak yang sanggup menghantar ibu mereka yang lumpuh separuh badan ke pusat jagaan warga emas dengan alasan ibu kuat makan. Lebih menyedihkan lagi apabila wang pencen arwah suami wanita yang berusia 84 tahun tersebut yang sepatutnya menjadi hak beliau turut dikaut oleh sembilan zuriatnya yang derhaka itu pada setiap bulan.
Oleh yang demikian, berhati-hatilah bagi anak-anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mereka mendoakan keburukan terhadap anak-anak mereka kerana doa mereka yang dizalimi apatah lagi jika doa itu merupakan dari ibu bapa, sudah pasti akan termakbul.
Rasulullah pernah bersabda: “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul tanpa diragui lagi, iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) doa orang tua ke atas anaknya.” –Hadith riwayat Imam al-Tarmizi di dalam Sunnahnya, no: 1828.
Secara realitinya, setiap manusia sememangnya tidak boleh lari dari melakukan kesilapan. Namun hendaklah seseorang itu menebus apa jua kesilapannya dengan tidak meneruskan perbuatan tersebut serta bertaubat. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Setiap anak adam itu sering berbuat kesilapan dan sebaik-baik orang yang selalu berbuat kesilapan adalah orang-orang yang suka bertaubat." – Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2423.
Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang telah menderhaka kepada orang tua mereka, hendaklah kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah dengan segera kerana Allah sentiasa menerima taubat hamba-hambanya-Nya walau sebesar mana dosa mereka selagi tidak melakukan perbuatan syirik. Segeralah memohon keampunan kepada ibu bapa yang telah dizalimi itu dan jangan ulangi kesilapan yang lalu. Kembalikankan mereka kepangkuan keluarga, jagalah mereka dengan baik dan jangan biarkan mereka terus bersedih di rumah orang-orang tua seolah-olah mereka ini tiada zuriat yang bertanggungjawab atas hal ehwal mereka.
Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Subscribe to:
Posts (Atom)